Blog ini merupakan blog rasmi Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah yang memaparkan aktiviti yang dijalankan di sekolah dan perkongsian ilmu dan bahan pendidikan.


Lawatan Dari Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran

Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran, En. Shashim Shah b. Harun telah membuat lawatan ke sekolah ini pada bulan Mei 2010. Warga SKDA sangat gembira dan mengalu-alukan kedatangan beliau. Beliau telah memberi ceramah motivasi kepada pelajar Tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Antara isi kandungan ceramah beliau ialah kesedaran tentang tanggungjawab seorang murid dan kepentingan pelajaran untuk menentukan masa depan seseorang individu. Selain itu beliau turut mengadakan perjumpaan dengan guru-guru SKDA dan memberi sedikit ceramah mengenai tanggungjawab dan matlamat pendidikan di sekolah.
Share:

Hari Keluarga 2010

Lokasi: Le Paris International Hotel
Tarikh: 21-22 Mei 2010


Seramai 40 orang guru SKDA dan keluarga masing-masing telah mengikuti Hari Keluarga SKDA. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti:

1. Aktiviti santai keluarga

2. Permainan bowling

3. Acara Sukaneka

4. Penyampaian hadiah

Selain dapat beriadah dan bersantai, para guru dan ahli keluarga juga dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Share:

Guru Pembina Negara Bangsa


(: Guru-guru SKDA :)

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun dan diraikan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah telah mengadakan pelbagai aktiviti bagi menyambut Hari Guru seperti jamuan, persembahan daripada murid, aktiviti padang dan sebagainya.




Acara bola petanque..Chaiyookk Cikgu Zehan!





Boleh masuk FIFA World CUP da nie



Horeeeyyyy!!





Cikgu-cikgu keletihan..

Share:

Kejohanan Olahraga 2010

Tarikh: 10 Mac 2010

Hari: Rabu

Masa: 2.30 petang

Tempat: Padang SK Datuk Abdullah



SK Datuk Abdullah telah mengadakan hari Kejohanan Olahraga 2010 yang telah dirasmikan oleh ADUN kawasan Gemencheh iaitu YB Dato’ Mohd Kamil bin Hj Abd Aziz. Pelbagai acara sukan diadakan seperti acara perbarisan, sukaneka dan sukan balapan. Murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 terlibat dalam aktiviti sukan ini dan tidak ketinggalan juga murid dari kelas pendidikan khas. Antara acara padang dan balapan yang dijalankan adalah acara lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru dan lari 4x200 m. Manakala bagi sukaneka pula adalah acara tarik tali, lari susun tin, gelang berantai dan lain-lain.




Kontigen perbarisan





Acara tarik tali
Share:

Majlis Penyampaian KWAPM 2010

Pada 14 April 2010, Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah (SKDA) telah menjadi pengelola bagi Majlis Penyampaian Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) . Majlis ini bertempat di Dewan MRSM Gemencheh dan bermula pada jam 2.30 petang. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gemencheh iaitu YB Dato' Mohd Kamil Bin Hj Abd Aziz dan Pegawai Pelajaran Daerah Tampin iaitu Tuan Hj Mad Aris bin Azis.




Para tetamu VIP



Para ibu bapa yang hadir ke majlis KWAPM

KWAPM bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa dalam menyediakan keperluan murid dan memberi kemudahan kepada murid untuk belajar dengan lebih baik. Pihak SKDA berbangga kerana dapat memberi sumbangan dalam menguruskan majlis ini dengan jayanya. Ribuan terima kasih juga kepada pihak lain yang terlibat dalam membantu menjayakan majlis ini.



Ibu bapa sedang beratur untuk menerima sumbangan dari KWAPM


Sesi menikmati jamuan


Share:

Program Cinta Rasul 2010

Setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut hari keputeraan Rasulullah S.A.W pada 12 Rabiulawal. Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti untuk menyambut hari Maulidur Rasul. Antara acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Ceramah, Forum, Marhaban dan jamuan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah (SKDA) juga turut mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada 25 Mac 2010 yang lalu. Majlis diadakan di Dewan SKDA bagi Tahap II dan Surau SKDA bagi Tahap I. Ceramah Maulidur Rasul bagi Tahap II disampaikan oleh Ust. Said Muhd. Jamaluddin bin Imbichi Koyar iaitu seorang perunding Latihan Al-Faliheen Management. Bagi Tahap I pula, taklimat telah disampaikan oleh Ustazah Nur Hanani binti Hamzah. Selain itu, tayangan video 'Muhammad Utusan Terakhir' turut dipertontonkan kepada pelajar Tahap I.



Ust. Said Muhd. Jamaluddin sedang memberi ceramah


Pelajar Tahap II sedang mendengar ceramah di Dewan SKDA



Pelajar Tahap I sedang menonton tayangan video 'Muhammad Utusan Terakhir'


Para guru SKDA

Share:

Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar SKDA 2009

Pada 18 November 2009 bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah (SKDA) telah berlangsung majlis penyampaian hadiah untuk pelajar cemerlang SKDA tahun 2009. Majlis ini dirasmikan oleh pegawai pelajaran daerah Tampin iaitu Tuan Hj. Mad Aris Bin Azis. Majlis ini bermula pada jam 8.30 pagi dan telah dihadiri oleh para ibu bapa, pelajar, VIP, guru-guru dan kakitangan sekolah ini. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku yang dipersembahkan oleh kumpulan koir SKDA. Seterusnya ucapan daripada Guru Besar SKDA iaitu Puan Hjh. Napsiah Bt Md.Yusop dan ucapan daripada Encik Mohd Ghazali Bin Arshad selaku YDP PIBG SKDA. Ucapan perasmian pula disampaikan oleh Tuan Hj. Mad Aris Bin Azis. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada pelajar pra-sekolah sehingga pelajar tahun enam dan selain itu jamuan turut dihidangkan kepada para tetamu yang hadir.



Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar



Guru Besar bersama pelajar yang menerima anugerah cemerlang


Para VIP dan tetamu yang hadir


Persembahan daripada pelajar SKDA
Share:

Kem Bestari Solat Tahun 6


Murid sedang melakukan amali solat

Kem Bestari Solat (KBS) untuk Tahun 6 melabuhkan tirainya pada 24 April 2010. Setelah melalui peringkat 1 dari Tahun 1, penuntut Tahun 6 dan tenaga pengajarnya boleh berbangga dengan hasil yang didapati. Murid didedahkan dengan berbagai pengetahuan solat dan amali untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. KBS Tahun 6 mempunyai 4 fasa yang telah bermula pada awal Januari 2010. Berikut adalah penerangan mengenai fasa-fasa KBS Tahun 6:
  • Fasa Pertama pada 13 Januari 2010
  • Fasa Kedua pada 20 Februari 2010
  • Fasa Ketiga pada 10 April 2010
  • Fasa Keempat pada 24 April 2010
Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti:
  • Latihan dalam kumpulan
  • Menghafaz surah
  • Teori dan amali solat
  • Bacaan wirid dan doa

Dengan bekalan yang diperolehi besarlah harapan agar anak-anak yang dididik dan diasuh dengan ilmu yang betul ini akan menjadi insan yang berguna baik di dunia mahu pun di akhirat kelak.

Share:

2010 SKDA tetap cemerlang, gemilang dan terbilang

Tahun baru menjelma lagi. SKDA tetap cemerlang,gemilang dan terbilang. Itulah semangat yang sentiasa membara dihati warga SKDA keseluruhannya.
Share:

Fail meja PSS

PENGENALAN

Fail Meja merupakan satu set panduan kerja yang disediakan khusus untuk setiap ahli jawatankuasa pusat sumber sekolah (PSS). Ia menjadi sumber utama bagi memahami bidang tugas, prosedur-prosedur kerja, dan segala dokumen termasuk borang-borang, peraturan-peraturan, carta aliran kerja dan sebagainya yang berkaitan dengan bidang tugas seseorang ahli jawatankuasa.

Penyediaan Fail Meja ini akan lebih memudahkan setiap ahli jawatankuasa menjalankan tugas masing-masing. Seterusnya pengurusan dan pentadbiran PSS akan lebih terancang dan sistematik.


KONSEP PUSAT SUMBER SEKOLAH

Pusat Sumber Sekolah merupakan satu tempat yang mengumpul, memproses dan menyebarkan bahan atau sumber-sumber maklumat. Ia termasuklah keseluruhan koleksi bahan bercetak dan bukan cetak meliputi alatan teknologi terkini.

PSS turut dilihat sebagai pusat sokongan ke arah kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, ia perlu memenuhi keperluan kegiatan pelajar-pelajar dalam pendidikan mereka termasuk dalam kegiatan ko-kurikulum.

Justeru itu, PSS wajar memiliki koleksi bahan dan alatan yang mencukupi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan tersebut.


PROFIL PUSAT SUMBER SEKOLAH

- Sejarah
- Kemudahan fizikal
- Kemudahan sumber manusia
- Bilangan pelanggan


VISI PSS

Membudayakan teknologi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara

MISI PSS

Menjadikan Pusat Sumber Sekolah pusat penyebaran ilmu dan maklumat





MOTTO PSS

* Pusat Sumber Sekolah Ke arah Kecemerlangan Budaya Ilmu


MATLAMAT PSS
*
· Meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.
· Membentuk profesion perguruan yang berilmu, dinamis, kreatif, inovatif dan berdisiplin untuk membantu pembinaan sahsiah guru-guru supaya dapat memainkan peranan yang berkesan dalam pembangunan negara, bangsa dan agama.
· Membentuk golongan pelajar yang berilmu, kreatif dan berdisiplin untuk membantu sahsiah pelajar supaya dapat memainkan peranan positif.
· Mendedahkan pelajar dengan pengetahuan teknologi maklumat
menerusi penggunaan komputer.


OBJEKTIF PSS

· Menyediakan sumber-sumber bagi kemudahan guru dan pelajar.
· Menyediakan tempat untuk guru-guru merancang dan
menghasilkan sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran
· Meningkatkan profesionalisme guru
· Mengumpul, menyimpan dan mengedar pelbagai jenis maklumat.
· Membina program media untuk pengajaran dan pembelajaran.
· Menyediakan perisian pendidikan untuk kegunaan guru dan
pelajar.


SENARAI TUGAS JAWATANKUASA INDUK PUSAT SUMBER SEKOLAH

1. Merancang pengwujudan PSS dan merangka peranan, kepentingan dan strategi perkembangannya.

2. Menentukan sumber kewangan PSS.

3. Mengagih dan menyelaraskan peruntukan dalam pembelian bahan-bahan PSS seperti bahan cetak (buku dan lain-lain), media teknologi dan bahan-bahan bantu mengajar/ belajar.

4. Melakukan anggaran perbelanjaan mengurus PSS yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja.

5. Bertanggungjawab dalam pengurusan penggunaan. Contohnya: menentukan jadual tugas, jadual waktu penggunaan PSS, peruntukan masa pinjaman dan lain-lain

6. Merangka strategi perkembangan PSS iaitu membuat unjuran mengenai keperluan-keperluan di masa akan datang. Contoh-contohnya: keperluan fizikal, keperluan bahan-bahan dan kegiatan-kegiatan lain seperti pameran dan sebagainya.

7. Merancang untuk mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak tertentu dalam bentuk moral dan material. Contohnya: wang tunai, buku-buku, bahan bantu mengajar, bahan media teknologi, kepakaran tertentu dan sebagainya.


SENARAI TUGAS JAWATANKUASA KERJA PUSAT SUMBER SEKOLAH

1. Menyelaraskan semua program media yang dirancang dan dilaksanakan.

2. Mendapatkan peruntukan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan Pusat Sumber.

3. Menyediakan anggaran perbelanjaan tahunan PSS untuk dimajukan ke Jawatankuasa Induk.

4. Menyediakan laporan tahunan Pusat Sumber Sekolah.

5. Merancang dan melaksanakan program perkembangan kakitangan.

6. Memberi khidmat nasihat dan kepakaran kepada pihak yang memerlukan.

7. Menggalakkan guru dan pelajar menggunakan pelbagai media pendidikan yang terdapat di Pusat Sumber.

8. Bertindak sebagai penghubung antara pihak sekolah dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti Pusat Sumber.


SENARAI TUGAS PENYELARAS PUSAT SUMBER SEKOLAH (GPK 1)

1. Bertanggungjawab kepada Pengetua
2. Merancang pembangunan sumber manusia PSS dan mengemukakannya kepada J/Kuasa Induk PSS
3. Mengawal selia dan menyelaras perbelanjaan dan rekod kewangan/stok PSS
4. Mewujudkan hubungan yang baik dengan Agensi luar seperti PSPN, BTP dan lain-lain supaya memperoleh pengetahuan yang terkini
5. Mempengerusikan Mesyuarat J/Kuasa Kerja
6. Merangka Program Lima Tahun PSS bersama AJK PSS
7. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua
8. Memilih dan melantik Guru-guru PSS bersama Setiausaha

SENARAI TUGAS SETIAUSAHA

1. Membantu dalam pengelolaan, pentadbiran dan penggunaan
2. Mentadbir, menyelaras perkhidmatan PSS
3. Merancang skim latihan untuk guru-guru PSS, guru-guru lain, Kerani PSS dan Pengawas PSS
4. Memilih dan melatih Pengawas PSS, Pelajar dan Pembantu PSS
5. Menyediakan Bibliografi untuk kegunaan guru dan pelajar
6. Merancang bersama AJK PSS segala aktiviti PSS untuk sepanjang tahun
7. Menyediakan laporan, taklimat dan memaklumkan kepada semua pihak yang berkenaan mengenai perkhidmatan PSS
8. Menguruskan mesyuarat-mesyuarat J/Kuasa Induk dan Kerja PSS
9. Menyediakan perancangan dalam penggunaan dan pembangunan PSS dan mengemukakannya kepada J/Kuasa Induk pentadbiran PSS
10. Mengurus perbelanjaan dan rekod kewangan PSS
11. Merangka dan menghasilkan Program Lima Tahun PSS bersama AJK PSS
12. Menjadi Setiausaha J/Kuasa pentadbiran PSS
13. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Guru Besar/Pengetua/GPK 1
14. Bertanggungjawab terhadap pengurusan rekod dan fail berkaitan PSS
15. Memastikan semua aktiviti yang dirancang berjalan dan dilaksanakan mengikut perancangan



GURU PERPUSTAKAAN

1. Membantu Penyelaras dalam pengurusan dan pentadbiran PSS
2. Mengkelas, merekod dan mengkatalog koleksi bahan perpustakaan
3. Menjalankan kerja-kerja membaikpulih, menyemak dan menghapuskira koleksi/bahan perpustakaan
4. Menceriakan suasana perpustakaan supaya dapat menarik minat pelajar menggunakan perpustakaan
5. Menyediakan rancangan pembangunan fizikal, perabot dan koleksi bahan
6. Menyediakan perancangan dan melakukan promosi aktiviti perpustakaan yang bersesuaian dengan objektif PSS
7. Menubuhkan J/Kuasa Guru Pembantu Perpustakaan dan pengagihan bidang tugas
8. Mengadakan orientasi bagi pelajar-pelajar baru supaya mereka tahu menggunakan PSS dengan baik dan betul
9. Mempromosi dan mempamerkan koleksi bahan-bahan baru yang diterima untuk makluman guru dan pelajar
10. Mengatur jadual waktu penggunaan perpustakaan mengikut keperluan di sekolah
11. Melatih dan menyelia Kerani dan Pengawas Perpustakaan untuk membantu menguruskan perpustakaan
12. Memberi khidmat nasihat dan kepakaran kepada pihak yang memerlukan
13. Memperoleh dan menyemak Bibliografi-bibliografi, Katalog-katalog daripada penerbit-penerbit atau punca-punca tertentu untuk mengetahui jenis-jenis buku yang perlu dan dapat dibeli.
14. Mengajar kemahiran pengendalian maklumat kepada guru-guru, dan pelajar mengikut keperluan.
15. Menjalankan kerja menyemak stok pada hujung tahun
Share:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Follow Blog Kami

Tempahan Perpustakaan

Tempahan Perpustakaan
Sila Scan Kod Bar

Akhbar Tempatan

Popular Posts

Labels

Blog Archive

Recent Posts