Blog ini merupakan blog rasmi Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah yang memaparkan aktiviti yang dijalankan di sekolah dan perkongsian ilmu dan bahan pendidikan.

Contoh-contoh karangan fakta



KARANGAN JENIS FAKTA

1.    Cara-cara untuk Membasmi Pembiakan Nyamuk Aedes
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun.
            Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan kolam mandi.  Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.
            Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam.
            Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir.
            Di samping itu, jika menggunakan  takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk mencegah pembiakan nyamuk.
            Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.
            Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

2.                Cara-cara Memperoleh Kejayaan Cemerlang dalam Pelajaran
Setiap pelajar mempunyai impian untuk berjaya dalam pelajaran. Bagaimanapun, ramai pelajar gagal menggunakan cara-cara yang sesuai untuk mencapai hasrat tersebut.

            Antara cara untuk memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran ialah membuat jadual aktiviti harian. Jadual ini akan memudahkan pelajar menguruskan aktiviti harian dan membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.

Selain itu, para pelajar perlulah rajin mengulang kaji pelajaran bagi memastikan mereka terus mengingati dan memahami topik pelajaran yang telah dipelajari. Mereka juga harus rajin membaca kerana membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pembendaharaan kata.

            Di samping itu, pelajar juga mestilah menghadiri aktiviti-aktiviti kecemerlangan yang diadakan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan, kelas motivasi dan sebagainya. Aktitivi seperti ini akan memantapkan pemahaman dan kemahiran para pelajar dalam pelajaran.

            Seterusnya pelajar juga hendaklah menumpukan perhatian kepada pengajaran guru di kelas bagi mengelakkan ketinggalan dalam pelajaran. Jika kurang faham akan sesuatu topik, pelajar harus segera bertanyakan guru supaya masalah tersebut dapat diselesaikan segera.

            Kesimpulannya, setiap pelajar inginkan kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, pelajar haruslah bijak  memilih cara-cara yang sesuai, selain berusaha dengan tekun dan gigih demi mencapai impian tersebut.

3.           Cara-cara untuk Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar
Kepupusan spesies haiwan semakin membimbangkan. Oleh itu, haiwan liar wajarlah dilindungi untuk mengelakkan nasib yang sama seperti dinosaur berulang.
            Antara langkah untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengekalkan atau menambahkan lagi hutan simpan sedia ada. Haiwan-haiwan ini perlu berada dihabitatnya bagi pembiakan yang berterusan .
            Di samping itu, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan menghukum sesiapa sahaja yang memelihara, menangkap atau membunuh haiwan-haiwan ini tanpa kebenaran pihak kerajaan.
            Selain itu, aktiviti pemburuan mestilah diluar kawasan rizab sahaja. Penguatkuasaan ini dapat mengelakkan aktiviti pemburuan yang tidak terkawal.
            Seterusnya usaha pembiakan spesies terancam perlulah dipergiatkan. Haiwan yang berjaya dibiakkan juga perlu dibebaskan ke habitat asal dengan dipantau dari semasa ke semasa.
            Penubuhan pusat kajian haiwan-haiwan liar juga perlu diwujudkan bagi membekalkan maklumat secukupnya untuk penyelidikan dan pendidikan pada masa akan datang. Ini akan membolehkan usaha-usaha perlindungan haiwan ini lebih berkesan.
            Akhir sekali, hidupan liar yang menceroboh kawasan kebun umpamanya perlulah dipindahkan segera ke zoo atau sebagainya. Ini kerana apabila keadaan ini terjadi, haiwan berkenaan akan ditangkap atau dibunuh.
            Kesimpulannya, hidupan liar yang kian terancam perlulah dilindungi sebaik mungkin bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan alam yang tidak ternilai ini.


4.    Masa Itu Ibarat Emas
Masa itu ibarat emas. Oleh itu, kita mestilah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dengan tidak melakukan aktiviti yang boleh merugikan. Gunakanlah masa lapang kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah.  

Pada masa cuti sekolah, kita boleh menggunakan masa lapang itu untuk melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti menolong ibu bapa di rumah. Kita boleh membantu mereka dengan mengemas rumah, menyiram pokok bunga, menolong ibu memasak dan lain-lain lagi. Ini dapat meringankan tugas ibu bapa dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.

Selain itu, masa lapang haruslah kita gunakan untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran. Aktiviti ini boleh menambahkan kemahiran dan kecekapan kita dalam sesuatu mata pelajaran. Kita juga akan dapat membaiki kelemahan dalam pelajaran. Ini akan membantu kita lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Malahan, jika ada kesempatan, kita boleh berkelah bersama keluarga. Dengan berkelah, kita dapat merehatkan fikiran dan menyegarkan minda setelah penat berlajar. Apatah lagi berkelah juga dapat mengeratkan tali persaudaran kerana kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain, makan dan sebagainya bersama keluarga

Pada masa lapang terutamanya pada musim cuti sekolah juga boleh kita gunakan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Ini dapat mengeratkan persaudaraan antara saudara mara, di samping dapat  melancong dan menikmati keindahan alam.

Kesimpulannya, masa amat berharga. Justeru, hargailah masa demi kehidupan yang lebih sempurna. Masa cuti sekolah atau masa lapang boleh dilalui dengan perkara yang tidak sia-sia apabila kita menghargai masa.

5.               Kegunaan Komputer
Penggunaan komputer amat penting pada masa kini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Justeru, ramai orang ingin memiliki komputer untuk kegunaan mereka semasa di rumah atau di mana-mana sahaja.
            Komputer membolehkan kita belajar seperti belajar secara dalam talian. Komputer juga memudahkan pelajar mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh diakses daripada komputer yang dilengkapi sambungan internet. Komputer juga akan memudahkan pelajar menyiapkan tugasan mereka.
            Kita boleh berhibur dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Melalui komputer kita boleh menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan sebagainya lagi. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk menenangkan fikiran setelah penat belajar atau bekerja.
            Komputer juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk berkomunikasi seperti email, forum, `facebook` dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung ini akan mengeratkan persahabatan dan persaudaraan antara kita.

            Kebanyakan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila menggunakan komputer. Misalnya, untuk menaip, menyimpan data atau maklumat dan mengira. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan pejabat seperti di bank akan dilengkapi dengan berpuluh-puluh komputer.
            Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada manusia. Walau bagaimanpun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer kerana ia juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.

6.              Kebaikan Membaca
Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Apatah lagi pada masa ini bahan bacaan yang sesuai seperti surat khabar, majalah dan sebagainya sangat mudah kita dapati seperti     di kedai-kedai berdekatan rumah atau melalui internet.
            Antara kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi. Ini tentu akan meningkatkan mutu karangan kita kerana banyak fakta yang kita ketahui.
            Selain itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu membaca akan mampu menulis karangan dengan ayat yang lebih gramatis kerana lebih banyak perkataan yang mereka ketahui atau kuasai.
            Di samping itu, orang yang rajin membaca akan memperoleh banyak pengajaran dan pengalaman daripada pembacaan. Ini boleh dijadikan pedoman untuk kebaikan mereka dalam kehidupan sehari-harian.  
            Membaca juga dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar. Ini kerana banyak bahan bacaan ringan yang baik dan menghiburkan kita seperti komik, cerpen dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kita harus lebih cermat dalam memilih bahan bacaan berunsur hiburan ini kerana ada juga yang tidak sesuai atau tidak elok untuk dibaca.
            Kesimpulannya, mengamalkan budaya membaca amatlah penting terutama kepada para pelajar. Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Oleh itu, kita haruslah amalkan sikap suka membaca supaya kita cemerlang dalam pelajaran dan menjadi kebanggaan guru-guru dan ibu bapa.

7.                Kebaikan-kebaikan Perpustakaan
Perpustakaan ialah suatu tempat terkumpulnya bahan-bahan bacaan. Ramai orang mengunjungi perpustakaan kerana di situ mereka boleh membaca bahan-bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, surat khabar dan lain-lain lagi secara percuma. Oleh itu, sudah tentulah perpustakaan memberi banyak kebaikannya kepada kita semua.

            Di perpustakaan, kita akan dapat menambah ilmu pegatahuan. Melalui pembacaan di situ, sudah tentu pengetahuan kita akan bertambah seperti mengetahui peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.
            Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah dengan mengunjungi perpustakaan. Ini mengelakkan kita daripada membuang masa secara sia-sia serta menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti melepak dan sebagainya.
            Perpustakaan juga dapat membentuk disiplin para pelajar. Ini kerana di perpustakaan terdapat pelbagai peraturan antaranya mesti senyap, memulangkan buku dalam tempohnya dan menjaga kebersihan perpustakaan. Peraturan ini akan mendisiplinkan diri kita kerana jika ingkar, mungkin kita akan didenda.
            Di samping itu, pembacaan bahan-bahan bacaan di perpustakaan akan dapat menambah pembedaharaan kata kita. Ini pasti akan membantu kita bertutur dan menulis karangan dengan lebih baik.
            Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap suka mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat kita perolehi.

8.                    Kebaikan Hobi Saya
Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang seperti memancing, mengumpul setem, membaca, melukis dan bersukan. Hobi saya pula bermain bola sepak. Saya melakukan aktiviti ini pada setiap petang.
            Hobi ini banyak memberi kebaikan kepada saya antaranya  ialah mengisi masa lapang, menyihatkan badan, cergas serta cerdas dan menambah kenalan. Saya dapat mengisi masa lapang  dengan bermain bola sepak. Aktiviti ini mengelakkan saya daripada melepak dan sebagainya.
            Selain itu, hobi ini juga dapat menyihatkan tubuh. Oleh sebab itulah saya jarang terkena penyakit seperti demam dan sebagainya. Badan saya juga menjadi cantik dan langsing.
            Permainan bola sepak juga menyebabkan badan saya cergas dan otak saya cerdas. Saya sentiasa cergas semasa belajar dan mudah memahami sesuatu pelajaran.
            Permainan bola sepak memerlukan pemain yang ramai. Oleh itu, saya berpeluang menambah kenalan terutama apabila melibatkan pertandingan dengan pasukan bola sepak dari luar.
            Kesimpulannya setiap orang bebas memilih hobi yang digemari. Namun, sesuatu hobi yang baik sepatutnya akan mendatangkan kebaikan kepada kita.



9.    Berjimat-cermat Amalan Mulia 
Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.
            Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang sebelum membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Ini tentu merugikan kita.
 Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.
            Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan cergas. Ini dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat daripada masalah kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan.
            Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.
            Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa pelbagai masalah.
Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.
            Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.
            Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah. 

            Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka. 
            Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak. 
            Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

11.         11. Faedah-faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan ini mempunyai banyak faedahnya.
            Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat memenuhkan masa lapang. Pelajar yang aktif dalam kegiatan ini akan terhindar daripada terlibat dengan gejala sosial kerana banyak masa mereka digunakan untuk aktiviti kokulrikulum di sekolah seperti sukan dan sebagainya. Oleh itu, masa lapang dapat diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah.
          
            Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan seperti jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Sebagai contoh, apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Dengan itu, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
            Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Sebagai contoh, kegiatan-kegiatan ini dijalankan mengikut peraturan dan jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu mematuhi peraturan dan jadual tersebut supaya segala aktiviti yang direncana dapat dijalankan dengan lancar. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.
            Tambahan pula, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab tentunya disertai oleh ramai ahli serta terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul dan bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan seterusnya akan mewujudkan perpaduan antara kaum.
            Akhir sekali, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai pertandingan bola sepak dan sebagainya. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu, badan kita akan mengeluarkan peluh. Ini tentu akan menjadikan kita cergas, sihat, kuat dan tidak akan mudah dijangkiti penyakit.



            Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam kegiatan ini demi kebaikan anak-anak mereka.

 

12.         Langkah-langkah Mewujudkan Minat Membaca dalam Kalangan Para Pelajar

Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, minat membaca di kalangan para pelajar mestilah dipupuk sejak dari kecil lagi.
            Antara langkah-langkah untuk memupuk minat membaca di kalangan para pelajar adalah dengan mengadakan kempen membaca terutamanya di peringkat sekolah lagi. Pihak sekolah boleh menjalankan kempen ini dengan mengadakan pelbagai pertandingan seperti pertandingan mengarang dan sebagainya.
            Selain itu, perpustakaan sekolah perlulah selesa serta dilengkapi dengan bahan bacaan dan kemudahan yang mencukupi. Ini akan menarik minat pelajar untuk mengunjungi perpustakaan.
            Ibu bapa pula mestilah memainkan peranan untuk memupuk minat membaca di kalangan anak-anak dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku-buku yang bersesuaian untuk bacaan anak-anak mereka. Jadikan membaca sebagai aktiviti harian keluarga dan wujudkan perpustakaan mini di rumah.
            Pihak kerajaan pula perlulah memantau supaya buku-buku yang dijual dengan harga yang berpatutan supaya semua golongan pelajar mampu membeli buku-buku yang mereka perlukan. 
Kesimpulannya, membaca amat penting kepada murid-murid. Oleh itu, minat membaca perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

 

13.         Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

            Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

            Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

            Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

            Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.


14.       Faedah-faedah Memanfaatkan Perpustakaan

Perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Di perpustakaan terdapat banyak buku-buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, buku rencana dan lain-lain lagi. Dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran. 
            Murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah. Sebaliknya, gejala yang tidak sihat akan mengelapkan masa depan mereka.
            Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri                         di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka. 
            Perpustakaan juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam                          di perpustakaan. Ini tentu dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid.
            Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, menfaatkanlah perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan.

 

15.         Kebaikan Buah-buahan Tempatan

Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang terdapat di negara kita Malaysia. Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, rambutan, langsat dan lain-lain lagi.
            Rakyat Malaysia digalakkan mengambil buah-buahan tempatan kerana buah-buahan tempatan masih segar. Oleh itu, buah-buahan ini tentu lebih berkhasiat kerana kandungan berbagai-bagai jenis zat dan vitaminnya masih terpelihara dan ini tentunya lebih baik untuk kesihatan kita.
            Buah-buahan tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan ini seperti pisang dan betik boleh kita tanam sendiri di sekeliling rumah, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kampung. Ini akan akan memudah kita mendapatkan buah-buahan ini tanpa perlu pergi ke kedai dan sebagainya.
            Buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung kita telah membantu negara dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negara.
            Kesimpulannya, kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana banyak kebaikannya. Tambahan pula buah-buahan tempatan didapati lebih murah daripada buah-buahan import. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia dapat menikmati buah-buahan ini tanpa mengira kaya atau miskin.

 

16.       Faedah-faedah Mempelajari Komputer

Komputer amat penting pada masa ini kerana banyak perkara terpaksa dilakukan dengan menggunakan komputer. Oleh sebab itu, wajarlah murid-murid berusaha menguasai ilmu komputer sejak dari sekolah rendah lagi bagi membantu mereka dalam pembelajaran.
            Antara faedah mempelajari komputer ialah memudahkan kita memperoleh pelbagai maklumat yang dikehendaki. Kita boleh mencari pelbagai maklumat melalui komputer dengan melayari internet.
            Selain itu, komputer juga membolehkan kita belajar dengan menggunakan perisian tertentu atau secara dalam talian. Ini memudahkan pelajar memahami pelajaran dan menambahkan minat mereka untuk terus mengikuti pelajaran.
            Di samping itu, kerja-kerja pendokumenan akan lebih mudah apabila dilaksanakan oleh seseorang yang mahir komputer.Tambahan pula, dengan komputer sebarang kesilapan semasa menaip dapat dibetulkan dengan lebih mudah dan pantas.
            Kemahiran dalam penggunaan komputer juga dapat membantu seseorang menguruskan fail atau data-data penting dengan lebih mudah dan selamat. Ini penting untuk menghindari kita daripada masalah dan kerugian akibat kehilangan data-data atau fail-fail tersebut. 
            Dalam pada itu, komputer juga boleh menghiburkan kita. Pelbagai aktiviti yang menghiburkan dapat dilakukan seperti bermain melalui perisian komputer. Ini boleh merehatkan minda kita setelah penat belajar, asalkan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga mengabaikan pelajaran.
            Kesimpulannya, mempelajari komputer mempunyai banyak faedahnya. Tambahan pula, pada masa ini banyak perkara perlu dilakukan dengan  menggunakan komputer. Oleh itu, tanamkan sikap ingin mempelajari komputer agar kita tidak ketinggalan dalam arus permodenan.


17.         Senaman Asas Kesihatan

Senaman adalah asas kesihatan kita. Senaman secara teratur dan berterusan akan memastikan  kesihatan kita sentiasa baik. Kita boleh bersenam dengan pelbagai cara seperti berjoging, berbasikal, berenang dan lain-lain lagi. 
            Senaman mempunyai banyak faedahnya. Apabila kita bersenam, badan kita akan berpeluh, otot menjadi kuat dan melancarkan perjalanan darah ke seluruh badan. Ini menjadikan badan kita sihat lalu menyukarkan daripada terkena penyakit seperti demam, batuk, selsema dan lain-lain lagi.
            Senaman juga menjadikan bentuk badan lebih menarik iaitu tidak terlalu gemuk atau kurus. Penampilan diri akan lebih menarik kerana badan yang langsing akan memudahkan pergerakan kita. Oleh itu, kita akan lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat.


            Selain itu, aktiviti senaman dapat mengisi masa lapang. Ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau memudaratkan seperti melepak, merokok dan sebagainya.
            Justeru, kita mestilah mengambil berat tentang senaman kerana senaman dapat menjamin kesihatan kita. Tambahan lagi, kajian pakar membuktikan senaman dapat mencerdaskan pemikiran. Oleh itu, jadikan senaman sebagai amalan hidup kita seharian.

 

18.       Cara-cara Memupuk Semangat Kejiranan

Jiran ialah orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah kita. Jiran memberi kesan baik atau buruk kepada kita dan keluarga. Ini kerana jiran yang baik akan mengembirakan kita, manakala jiran yang sebaliknya akan menyebabkan kita sengsara seperti pergaduhan dan sebagainya. Oleh itu, sewajarnyalah kita sentiasa memupuk semangat kejiranan.
            Antara cara memupuk semangat kejiranan adalah dengan saling tegur-menegur dan kunjung-mengunjungi sesama jiran. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa perayaan, jiran sakit, kelahiran anak, kenduri dan lain-lain lagi. Ini akan mengeratkan hubungan kejiranan kerana kita saling mengambil berat antara satu sama lain.
            Selain itu, semangat kejiranan dapat dipupuk dengan kegiatan gotong-royong. Melalui aktiviti ini, kita dapat berkenalan, bertanya khabar berbual-bual dan sebagainya. Justeru, kita dapat mengenali jiran dengan lebih rapat lalu mengeratkan hubungan sesama jiran.
            Di samping itu, kita mestilah mempunyai sikap perihatin terhadap masalah jiran. Apabila jiran kita mengalami kesusahan seperti kereta rosak dan sebagainya, kita mestilah bersedia menghulurkan bantuan sekadar mampu jika diperlukan. Dengan itu, lahirlah sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama jiran.
            Kesimpulannya, kita mestilah berbuat baik kepada jiran tetangga. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk mengeratkan kejiranan seperti mengada aktiviti hari keluarga sesama jiran terdekat. Pupuklah semangat kejiranan agar hubungan kita dengan jiran tetangga sentiasa aman dan harmoni.


Share:

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Follow Blog Kami

Tempahan Perpustakaan

Tempahan Perpustakaan
Sila Scan Kod Bar

Akhbar Tempatan

Popular Posts

Labels

Blog Archive

Recent Posts