Blog ini merupakan blog rasmi Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah yang memaparkan aktiviti yang dijalankan di sekolah dan perkongsian ilmu dan bahan pendidikan.


Kejohanan Sukan Tahunan

Walaupun tempoh persekolahan sudah hampir ke penghujung, namun Unit Ko-kurikulum SKDA masih sempat menganjurkan Kejohanan Olahraga Tahunan pada 16 November 2017 yang lalu.

Berikut adalah kronologi sepanjang penganjuran Kejohanan Olahraga Tahunan bagi tahun 2017:-

- 6 Nov 2017 / Isnin -
Hari pertama latihan sukan bermula..
Setiap ahli rumah sukan bertungkus-lumus memilih atlit yang terbaik untuk mewakili rumah sukan masing-masing.

- 7 Nov 2017 / Selasa -
Pemilihan diteruskan lagi dengan memberi fokus kepada acara padang seperti lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Apa yang dipelajari pada hari ini, akan dipraktikkan oleh murid. Sebagai contohnya, walaupun berbadan kurus dan kecil, namun murid berupaya melakukan lontaran dengan jarak yang jauh kerana teknik yang betul.

- 8 Nov 2017 / Rabu -
 Pemilihan atlit untuk acara balapan diadakan pada hari ini. Cikgu-cikgu juga sempat menurunkan ilmu dan teknik terbaik bagi menghasilkan keputusan yang membanggakan.

- 9 Nov 2017 / Khamis -
Latihan melibatkan antara rumah sukan. Hari ini adalah latihan bagi acara 4x200m dan 4x100m. Walaupun cuma latihan, namun kehangatannya sudah mula dirasai. Murid mula menunjukkan taring masing-masing. Semasa latihan dijalankan, peraturan larian juga turut diterangkan kepada peserta.

- 10 Nov 2017 / Jumaat -
Latihan sukaneka diadakan bermula dari tahun 1 hinggalah murid tahun 6. Pelbagai reaksi sama ada guru mahupun murid, dapat dilihat sepanjang latihan dijalankan. Walaupun ianya hanya latihan, tetapi terdapat murid yang dimarahi oleh guru rumah sukan masing-masing kerana tidak melakukan aktiviti dengan bersungguh-sungguh.

Sepanjang minggu pertama perjalanan latihan sukan ini, banyak ilmu yang telah diturunkan kepada murid-murid. Setiap rumah sukan memasang strategi bagi menggondol setiap acara yang akan dipertandingkan nanti. Namun, itu bukanlah mematahkan semangat guru dan murid yang lain untuk meneruskan latihan sebelum kejohanan sukan berlangsung. Siapa tahu, mungkin ada keajaiban ketika kejohanan sukan berlangsung nanti kan?


Kronologi Minggu Kedua

- 13 Nov 2017 / Isnin -
Latihan perbarisan dan acara trek.
Banyak peraturan yang berguna dijelaskan oleh pegawai teknikal yang dilantik sebelum kejohanan sebenar bermula.

- 14 Nov 2017 / Selasa -
Hujan turun sepanjang hari. Acara akhir sukaneka yang dirancang pada hari ini tergendala begitu sahaja. Namun, guru bagi setiap rumah sukan tidak mensia-siakan setiap saat yang ada. Ketika cuaca tidak mengizinkan, guru memberi sepenuh komitmen lain dalam menyiapkan pakaian yang sesuai untuk ahli perbarisan pula. Begitulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru-guru.

- 15 Nov 2017 / Rabu -
Memandangkan cuaca yang baik pada hari ini, maka acara yang tergendala telah diteruskan. Antara acara yang dijalankan adalah acara padang dan acara lari berganti-ganti 4x200m. Selepas rehat, acara sukaneka melibatkan tahap 1 diteruskan.
Menjelang petang pula, raptai perbarisan  dan sukaneka tahap 2 diadakan.

- 16 Nov 2017/ Khamis -
Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba.
Kemuncak Kejohanan Sukan Sekolah diteruskan tanpa halangan.

YB Dato' Mohd Isam bin Isa, merupakan tetamu kehormat pada hari bersejarah ini. Beliau turut merasmikan majlis penutupan dan penangguhan kejohanan sukan ini. Kejohanan sukan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga murid. Masing-masing memberikan sorakan apabila melihat anak mereka dalam acara yang disertai.

Kejohanan Sukan Tahunan pada kali ini agak berbeza dengan tahun yang sebelumnya. Ini kerana, Hiasan Khemah turut dipertandingkan buat julung kalinya. Seperti diduga, Johan hiasan khemah telah disandang oleh Rumah Biru dengan menggunakan tema Baby Shark. Begitu juga untuk perbarisan, Rumah Biru telah dinobatkan sebagai Johan Perbarisan di mana tarian senamrobik baby Shark turut dipersembahkan semasa lintas langsung di hadapan astaka.  Johan Keseluruhan bagi acara sukan pula telah disandang oleh Rumah Kuning yang setia dengan kebabomnya. Walaupun begitu, ini tidak mematahkan semangat guru-guru dan murid dari rumah yang lain untuk terus mencuba lagi pada tahun hadapan.
Dalam kejohanan ini, Muhammad Syazwan bin Borhan dari rumah Hijau telah dipilih sebagai Olahragawan sekolah manakala Olahragawati pula adalah dari rumah Kuning iaitu Nurain bt Tarmizi. Kedua-dua olahragawan dan olahragawati ini membawa pulang RM50 sebagai hadiah yang disumbangkan oleh YB Dato' Mohd Isam bin Isa.

Tahniah diucapkan kepada semua yang memenangi acara pada kali ini. Kepada mereka yang kurang berjaya, diharapkan agar tidak berputus asa dan akan sentiasa mencuba pada masa akan datang.


















































Share:

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Follow Blog Kami

Tempahan Perpustakaan

Tempahan Perpustakaan
Sila Scan Kod Bar

Akhbar Tempatan

Popular Posts

Labels

Recent Posts